Thursday, October 13, 2011

Komunis Melayu tidak antiagama

Ketika Abdullah C.D. berkahwin dengan Eng Ming Ching pada tahun 1955, Eng Ming Ching telah memeluk agama Islam terlebih dahulu dan menukar nama kepada Suriani Abdullah. Mereka berkahwin secara Islam.

Perkahwinan Abdullah C.D. dengan Suriani Abdullah mengikut agama Islam ini adalah bukti yang paling nyata bahawa orang-orang komunis Melayu tidak antiagama dan anti- Tuhan sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang yang antikomunis.

Ketika mereka berjuang di dalam hutan dahulu, keadaan mungkin tidak mengizinkaan mereka melakukan dengan sepenuhnya fardu ain seperti sembahyang dan puasa.

Namun, apabila mereka membuka kampung Perdamaian selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, antara yang mula-mula mereka dirikan di tempat itu ialah sebuah surau, yang kini telah dinaikkan tarafnya menjadi masjid.

Di surau itulah mereka berkumpul untuk melakukan sembahyang Jumaat, sembahyang Hari Raya dan sembahyang berjemaah pada waktu-waktu tertentu, serta melakukan upacara keagamaan, seperti sambutan Maulud Nabi dan lain-kain.

Beberapa tahun selepas itu, bekas pemimpin Melayu PKM, seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Abu Samah dan isteri masing-masing semuanya pergi ke Mekah untuk menunaikan fardu haji. Begitu juga Ibrahim Chik, seorang lagi bekas pemimpin PKM, yang menunaikan fardu haji terkemudian sedikit daripada mereka.

Di masa tuanya, selama beberapa tahun, Rashid Maidin yang tinggal di Yala adalah salah seorang guru mengaji Quran di tempat itu.

Perkara yang dipaparkan di atas mungkin sudah cukup untuk menolak gambaran dan dakwaan palsu bahawa semua orang-orang komunis adalah antiagama dan anti-Tuhan. Pemimpin komunis Melayu jelas tidak demikian.

1 comment:

ahazeman said...

mengapa perlu ada komunis... tinggalkan komunis masuklah Islam sepenuhnya.