Monday, November 10, 2008

Anwar akan hapuskan ISA

Ketika melancarkan 4 buah buku S.Husin Ali di Shah Alam pada 9 Nov.2008, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa ISA akan dihapuskan sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya memerintah kerajaan (kerajaan Pusat).

Walaupun kita tidak pasti bila Pakatan Rakyat akan berjaya memerintah, tetapi saya tentu menyokong tindakan yang beliau akan ambil.

Untuk rekod, semasa Anwar berada dalam kerajaan BN dulu, dia agaknya tidak terfikir untuk mencadangkan supaya ISA dihapuskan.

Tapi sekarang kedudukan Anwar sudah berubah -- bukan lagi bersama BN. Jadi wajar saja jika pendiriannya juga turut berubah.

Kebetulan salah satu buku S.Husin yang dilancarkan oleh Anwar ialah cetakan semula bukunya, Dua Wajah, yang menceritakan pengalaman S.Husin selama 6 dalam tahanan ISA.

Memang ISA adalah undang-undang rimba yang zalim, yang menafikan hak asasi manusia, kerana membolehkan penahanan tanpa bicara selama bertahun-tahun, hanya berasaskan "keputusan" seorang menteri!

Jadi memang wajar ia dihapuskan sekarang juga, kalau kerajaan BN mahu mendengar suara dan rintihan rakyat.

Friday, November 7, 2008

PAS tidak beretika campur urusan UMNO?

Orang-orang PAS di Johor mengetahui seorang Ketua Bahagian UMNO di negeri itu telah membeli undi untuk mendapatkan pencalonan semasa pemilihan bahagian, dan akhirnya beliau terpilih semula sebagai Ketua Bahagian. Apakah yang patut dilakukan oleh orang PAS?

Mendiamkan diri saja atau melaporkannya kepada BPR? Ketua PAS Bahagian Kota Tinggi telah melaporkannya kepada BPR.

Tindakan PAS itu dianggap oleh Rasman Ithnain, Timbalan Ketua UMNO Kota Tinggi sebagai tidak beretika, kerana mencampuri urusan dalaman parti lain. Beliau juga menuduh tindakan PAS itu tidak mencerminkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang berlandaskan Islam kerana lebih memecahkan perpaduan di kalangan ahli UMNO yang baru selesai menghadapi pemilihan.

Saya rasa anggapan dan tuduhan Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu masih boleh dipersoalkan. Betulkah PAS tidak boleh mencampuri urusan parti lain? Kalau melihat apa yang berlaku selama ini, di mana UMNO dan PAS kadang-kadang saling tuduh menuduh, malah pernah juga saling memfitnah, rasanya mencampuri urusan parti lain tidak lagi menjadi satu isu.

Isu yang timbul di sini ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu seolah-olah tidak menafikan pembelian undi itu ada berlaku, tetapi beliau mahu hal itu didiamkan atau "ditutup" sahaja, untuk menjaga supaya bahagian UMNO itu tidak berpecah.

Jika betul demikian, nampaknya beliau tidak berhasrat untuk menghapuskan politik wang yang berlaku dalam bahagian UMNO itu, sedangkan politik wang adalah rasuah yang perlu dibanteras demi kebaikan UMNO sendiri. Sungguh malang sekali.

Oleh yang demikian, berhadapan dengan keadaan seperti itu, mungkin ada kewajarannya jika pihak PAS yang membuat laporan kepada BPR. Walaupun PAS "mencampuri" urusan UMNO, tetapi bolehkah dinafikan PAS telah "menolong" UMNO untuk menangani masalah rasuah yang tidak mampu ditanganinya?

Pak lawak pun dapat pencalonan banyak?

Tak lama dulu, Mahathir dilaporkan pernah berkata, bahawa kecuali Muhyiddin Yasin, orang-orang yang menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO semuanya "pak lawak."

Anehnya semua "pak lawak" itu mendapat pencalonan yang agak banyak juga, malah salah seorang daripada mereka mungkin akan dapat mencapai kuota tidak lama lagi.

Mengapakah demikian?

Mengikut satu laporan dalam sebuah blog, ada di antara mereka yang membeli pencalonan, sebab itulah tokoh yang berkenaan mendapat pencalonan yang agak banyak. Hal ini dilaporkan juga oleh Harakah Bil.1388, 7-9 November 2008.

Saya tidak pasti adakah hal itu betul atau tidak. Akan tetapi, jika betul, alangkah parahnya politik wang, atau sebenarnya rasuah politik, dalam UMNO sekarang!