Dalam "perang kemerdekaan" antara tahun 1948 hingga 1957, tentera PKM menamakan diri mereka sebagai "Tentera Pembebasan Nasional Malaya" (di sini disingkat sebagai "Tentera Pembebasan"), dan yang menjadi lawan mereka ialah "tentera penjajah", sama ada yang datang dari Britain dan negeri Komanwel British yang lain, ataupun askar Melayu yang berkhidmat dengan penjajah.
Tugas Tentera Pembebasan adalah untuk membebaskan Malaya dari penjajahan British, sementara tugas tentera penjajah adalah untuk mempertahankan dan mengekalkan rejim penjajah tersebut.
Walaupun sebahagian anggota Tentera Pembebasan ialah "orang luar" atau bukan warga negara Malaya, tetapi peranan mereka adalah sama dengan orang-orang yang menjadi warga negara Malaysia, iaitu untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah British.
Setiap peperangan tentu melibatkan apa yang dikatakan sebagai "keganasan". Ini memang tidak dapat dielakkan. Sekiranya Tentera Pembebasan melakukan pembunuhan, tentera penjajah juga melakukan perkara yang sama. Jadi apakah bezanya antara dua kelompok tentera itu?
Perbezaannya yang asas tentu dari segi matlamat perjuangan mereka. Perjuangan Tentera Pembebasan adalah untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Tidakkah ini matlamat perjuangan yang mulia?
Sebaliknya, matamat perjuangan tentera penjajah adalah untuk mengekalkan rejim penjajah atau pemerintah penjajah yang memunggah ekonomi negara ini, di samping meletakkan kedudukan rakyat dalam kedudukan yang rendah dan hina. Adakah perjuangan seperti itu boleh dianggap sebagai perjuangan yang mulia?
Malangnya perjuangan itu dimenangi oleh tentera penjajah. Mereka mendakwa merekalah yang mempertahankan negara ini dari ancaman dan pencerobohan "pengganas komunis". Dan dengan itu berhaklah mereka agaknya mendakwa sebagai wira!
Memang taktik dan perang saraf penjajah untuk mengecap Tentera Pembebasan sebagai pengganas dan bandit. Dan kerana keberkesanan jentera propaganda penjajah, ramailah rakyat biasa yang percaya bahawa Tentera Pembebasan itu memang benar merupakan pengganas yang jahat.
Namun, di saat kita menyambut kemerdekaan tanah air yang ke-52, mungkin ada juga kewajarannya kita merenungkan kembali, betulkah Tentera Pembebasan itu pengganas yang jahat ataupun sebenarnya mereka ialah pejuang kemerdekaan yang tulin?
Saya rasa, sekiranya sejarah mahu bersikap adil dan mahu mengakui apa yang benar, Tentera Pembebasan itu wajar dianggap sebaga pejuang kemerdekaan yang tulin.
Walaupun mereka merupakan orang yang kalah, tetapi peranan mereka dalam perjuangan kemerdekaan, iaitu perjuangan untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah adalah penting dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Banyak pihak yang mempercayai, bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan secara perundingan mungkin tidak mudah tercapai, sekiranya pada masa yang sama tidak ada Tentera Pembebasan yang berjuang dengan senjata dari hutan belantara.
Perjuangan Tentera Pembebasan itu penting dari segi memberi tekanan kepada rejim penjajah, kerana dengan adanya perjuangan bersenjata itu kerajaan penjajah British terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang amat besar untuk menghadapiya, yang mungkin tidak mampu mereka pikul secara berterusan.
Dan itulah sebabnya mengapa kerajaan British telah memberi kemerdekaan dengan agak "mudah" kepada pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang terdiri daripada orang-orang kelas atasan, yang bersetuju pihak British meneruskan penguasaan ekonominya dan mengekalkan kedudukan tenteranya di negara ini, selepas kemerdekaan itu diberikan.
Oleh itu, walaupun agaknya sudah terlambat, tetapi sudahlah sampainya dan tidak perlu ditangguhkan lagi kita mengiktiraf bahawa Tentera Pembebasan itu adalah juga pejuang kemerdekaan.
1 comment:
dengan syarat bukan berasaskan nama komunis.
Post a Comment