Perjuangan kemerdekaan di Temerloh yang bermula selepas Perang Dunia Kedua melahirkan dua orang tokoh yang bernama Abu Samah: pertama, Abu Samah Mohd.Kassim dan kedua, Abu Samah Mohd.Amin.
Abu Samah Mohd. Kassim, yang baru meninggal dunia pada 7 April 2009 yang lalu, berasal dari mukim Lancang, dan kerana itu dia kadang-kadang dikenali oleh penduduk Temerloh sebagai "Abu Samah Lancang". Ia pernah menjadi pemimpin API tempatan di sekitar tahun 1946, sebelum menjadi anggota PKM (1947) dan menyertai perang gerila menentang Inggeris di Pahang, antara 1948 hingga 1953.
Abu Samah Mohd.Kassim adalah salah seorang penduduk Temerloh yang menyertai pasukan Rejimen Ke-10 berpindah ke Selatan Thailand pada tahun 1953 dan berjuang dari Selatan Thailand selama hampir 4 dekad. Ia mungkin sudah dilupakan oleh penduduk Temerloh, sekiranya ia tidak balik ke Temerloh pada awal tahun 1990-an, setelah termeterainya Perjanjian Perdamaian antara kerajaan Malaysia dengan PKM pada Disember 1989.
Pencapaian penting Abu Samah Moh.Kassim dalam PKM ialah dari seorang anggota biasa dia telah meningkat menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat PKM.
Dari segi peranannya dalam perang gerila pula, dialah yang memimpin tentera PKM mara ke selatan (ke Kelantan) pada awal tahun 1970-an. Dalam perang gerila itu, anggota tentera PKM yang dipimpinnya hanya kira-kira 40 orang, tetapi mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera Malaysia yang jumlahnya ratusan orang!
Pada tahun 2008 telah terbit buku biografi Abu Samah Mohd. Kassim yang bertajuk Abu Samah Mohd.Kassim: Pejuang Kiri Kemerdekaan Zuriat Datuk Bahaman (Mohamed Salleh Lamry, SIRD). Jadi riwayat hidup dan sejarah perjuangannya boleh diikuti dalam buku tersebut.
Abu Samah Mohd. Amin pula berasal dari kampung Paya Banir yang bersempadan dengan Lubuk Kawah. Ia tidak menyertai gerakan kiri pada peringkat awal, tetapi hanya menyertai PETA yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Wahi Anuar pada hujung tahun 1947.
Abu Samah Mohd.Amin merupakan salah seorang anggota jawatankuasa sambutan yang aktif, ketika PETA mengadakan kongres nasionalnya di Temerloh pada April 1948.
Abu Samah Mohd.Amin menyertai perang gerila menentang penjajah Inggeris bersama-sama dengan isteri dan dua orang adiknya setelah PETA diharamkan dan darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Ia tidak menyertai pasukan Rejimen ke-10 yang berpindah ke Selatan Thailand pada tahun 1953, tetapi terus menjalankan aktiviti sebagai pekerja massa di kawasan Pahang Timur sehingga tahun 1956. Jawatan terakhirnya dalam PKM adalah sebagai area komiti.
Abu Samah Mohd.Amin meninggalkan perjuangan bersenjata pada tahun 1956 bersama-sama dengan isteri dan dua orang adiknya setelah Malaya berkerajaan sendiri. Ia menyambut pengampunan beramai-ramai yang ditawarkan oleh Tunku Abdul Rahman kerana percaya Malaya akan merdeka tidak lama lagi dan dengan itu ia tidak perlu lagi meneruskan perjuangan bersenjata.
Walau bagaimana pun, setelah meninggalkan perjuangan bersenjata, Abu Samah Mohd.Amin meneruskan perjuangan dalam parti kiri yang ada pada masa itu, iaitu Parti Rakyat Malaya (PRM) yang kemudiannya menukar nama menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).
Satu perkara yang menarik ialah Abu Samah jelas seorang yang aktif dan berkebolehan. Ia telah dilantik menjadi Pengerusi PRM Pahang pada tahun 1960, dan memegang jawatan itu dalam masa yang panjang -- selama 18 tahun, sehingga 1978.
Dalam masa memegang jawatan Pengerusi PRM Pahang, Abu Samah telah bertanding sebagai calon PRM/PSRM dalam empat kali pilihan raya: 1964, 1969, 1974 dan 1978. Ia mendapat undi yang agak besar dan hampir menang dalam pilihan raya 1969 di DUN bandar Temerloh, walaupun dikalahkan oleh calon UMNO/Perikatan/BN dalam semua pilihan raya itu.
Seperti Abu Samah Mohd. Kassim, Abu Samah Mohd.Amin juga kini telah tiada. Tapi perjuangan dan jasa kedua-dua tokoh ini sepatutnya tidak dilupakan, kerana banyak atau sedikit, mereka telah memberi sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan.
Dengan memikul senjata, mereka sebenarnya telah menggadaikan nyawa mereka dalam perjuangan itu. Dan dengan itu, perjuangan mereka memang wajar dikenang dan dihargai.
No comments:
Post a Comment