Banyak orang yang ingin menunjukkan kekejaman komunis, sama ada bekas tentera atau orang awam, merujuk kepada peristiwa yang berlaku selepas berakhirnya pemerintahan Jepun pada akhir tahun 1945, ketika Bintang Tiga yang umumnya terdiri daripada orang Cina cuba "memerintah" negara ini selama 14 hari.
Pada masa itu memang benar Bintang Tiga yang biasanya dikaitkan dengan komunis itu telah melakukan kekejaman ke atas orang Melayu di pelbagai tempat, seperti di Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik , Perak.
Akan tetapi, peristiwa itu mesti dilihat dalam konteks hubungan mereka dengan Jepun, bukan dalam konteks perjuangan kemerdekaan.
Pada umumnya orang-orang Melayu yang dianiayai oleh Bintang Tiga itu ialah orang-orang yang sebelumnya dianggap bekerja dengan Jepun atau menjadi tali barut Jepun.
Oleh kerana pada masa itu Bintang Tiga "berperang" dengan Jepun, maka orang Melayu yang dianggap sebagai tali barut Jepun itu dengan sendirinya menjadi musuh mereka.
Maka dalam suasana kekosongan kekuasaan sebelum Inggeris kembali menjajah negara ini, perkelahian berdarah antara Bintang Tiga (orang Cina) dengan orang Melayu nampaknya tidaklah dapat dielakkan.
Dan saya kira "peperangan" antara Bintang Tiga yang terdiri daripada orang Cina dengan orang Melayu itu lebih merupakan "konflik perkauman" atau perang antara orang Cina dengan orang Melayu, bukan antara komunis dengan bukan komunis.
Walau bagaimanapun, peperangan perkauman itu saya kira telah berakhir dengan "baik" dan sepatutnya dilupakan saja, kerana di pelbagai tempat itu banyak juga orang Cina yang telah "ditebas" oleh orang Melayu.
Jadi saya kira tidak ada pihak yang benar-benar menang dan tidak ada pihak yang benar-benar kalah.
Peristiwa itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan perjuangan komunis dan juga orang Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British.
Peristiwa itu hanyalah konflik perkauman yang patut dilupakan, bukan diungkit untuk menunjukkan kekejaman komunis.
1 comment:
komunis telah menunjukkan kekejamannya di seluruh dunia menakluk, membunuh mujahiddin afghanistan.... kenapa perlu lagi membela komunis yang mendidik penganutnya kearah revolusi keganasan? hasad dengki kepada golongan pemodal?
Post a Comment