Friday, November 7, 2008

PAS tidak beretika campur urusan UMNO?

Orang-orang PAS di Johor mengetahui seorang Ketua Bahagian UMNO di negeri itu telah membeli undi untuk mendapatkan pencalonan semasa pemilihan bahagian, dan akhirnya beliau terpilih semula sebagai Ketua Bahagian. Apakah yang patut dilakukan oleh orang PAS?

Mendiamkan diri saja atau melaporkannya kepada BPR? Ketua PAS Bahagian Kota Tinggi telah melaporkannya kepada BPR.

Tindakan PAS itu dianggap oleh Rasman Ithnain, Timbalan Ketua UMNO Kota Tinggi sebagai tidak beretika, kerana mencampuri urusan dalaman parti lain. Beliau juga menuduh tindakan PAS itu tidak mencerminkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang berlandaskan Islam kerana lebih memecahkan perpaduan di kalangan ahli UMNO yang baru selesai menghadapi pemilihan.

Saya rasa anggapan dan tuduhan Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu masih boleh dipersoalkan. Betulkah PAS tidak boleh mencampuri urusan parti lain? Kalau melihat apa yang berlaku selama ini, di mana UMNO dan PAS kadang-kadang saling tuduh menuduh, malah pernah juga saling memfitnah, rasanya mencampuri urusan parti lain tidak lagi menjadi satu isu.

Isu yang timbul di sini ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu seolah-olah tidak menafikan pembelian undi itu ada berlaku, tetapi beliau mahu hal itu didiamkan atau "ditutup" sahaja, untuk menjaga supaya bahagian UMNO itu tidak berpecah.

Jika betul demikian, nampaknya beliau tidak berhasrat untuk menghapuskan politik wang yang berlaku dalam bahagian UMNO itu, sedangkan politik wang adalah rasuah yang perlu dibanteras demi kebaikan UMNO sendiri. Sungguh malang sekali.

Oleh yang demikian, berhadapan dengan keadaan seperti itu, mungkin ada kewajarannya jika pihak PAS yang membuat laporan kepada BPR. Walaupun PAS "mencampuri" urusan UMNO, tetapi bolehkah dinafikan PAS telah "menolong" UMNO untuk menangani masalah rasuah yang tidak mampu ditanganinya?

No comments: