Wednesday, June 16, 2010

Bahaman " si derhaka celaka" kata Hikayat Pahang


Apabila membaca satu tulisan yang berkaitan dengan Bahaman dalam blog "Kini dan Silam", saya teringat pandangan Hikayat Pahang (Penerbit Fajar Bakti 1986) tentang Bahaman.
Hikayat Pahang yang asalnya tulisan tangan dan mungkin disalin pada tahun 1932 mengatakan bahawa Bahaman "telah derhaka kepada kerajaan Pahang" dan berkali-kali, di pelbagai tempat (misalnya di muka surat 116-17) penulisnya melabelkan Bahaman sebagai "si derhaka celaka".
Penulis Hikayat Pahang itu tidak diketahui, kerana dia tidak menyatakan namanya. Namun, jelaslah dia seorang yang masih bermentaliti feudal , yang menghendaki setiap rakyat Pahang mesti taat setia kepada kerajaan, termasuk kerajaan Inggeris yang telah "menjajah" negeri Pahang.
Beliau mungkin seorang yang mempunyai hubungan rapat dengan istana dan pentadbiran penjajah, dan dengan itu berasa selesa berada di bawah pemerintahan penjajah. Beliau tidak mempunyai kesedaran politik bahawa berada di bawah pemerintahan penjajah itu adalah satu kedudukan yang hina.
Namun, sejak pertengahan tahun 1930-an di Pahang sudah lahir pemimpin yang berasal dari kelas rakyat, seperti Ibrahim Yaakub dan Ishak Haji Mohamad, yang mahu memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajah.
Dengan itu, pandangan feudal bahawa Bahaman adalah "si derhaka celaka" pun turut berubah. Sejak itu Bahaman dilihat sebagai seorang patriot, penentang penjajah dan pejuang kemerdekaan. Inilah pandangan yang tepat, yang sepatutnya dicatatkan dalam buku-buku sejarah.

Saturday, June 12, 2010

Siti Norkiah bt. Mahmud Baginda

Orang muda pada masa ini tentu tidak kenal siapa Siti Norkiah.
Orang tua pula mungkin tidak ingat lagi, dan mungkin banyak juga yang tidak mengenalinya. Akan tetapi, sebagai bekas Ketua AWAS Pahang (1946-1948), yang kemudian bergerila di Pahang selama kira-kira 5 tahun (1948-1953), dan selepas itu bergerila pula di selatan Thailand selama hampir empat dekad (1954-1989), saya rasa beliau wajar dikenali dan sejarah perjuangannya wajar dirakamkan dan diberi pengiktirafan. Sekarang saya sedang menulis biografi beliau, yang kini sudah berumur 90 tahun.

Wednesday, November 4, 2009

Isu kereta lama: kepentingan siapa didahulukan?

Mengapakah kereta lama yang berusia lebih 15 tahun diwajibkan membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom Sdn. Bhd.?

Mengikut pihak yang berkuasa antara alasannya ialah untuk menjaga keselamatan orang ramai.

Alasan ini telah dibantah oleh orang kampung yang mempunyai kereta lama yang berusia 15 tahun ke atas, kerana kereta mereka umumnya masih berada dalam keadaan baik dan jarang terlibat dengan kemalangan. Yang sering terlibat dengan kemalangan dan malah kematian, umumnya ialah kereta baru yang dipandu laju.

Kereta lama biasanya tidak boleh dipandu laju. Jadi alasan untuk menjaga keselamatan orang ramai ini sebenarnya tidak relevan, dan mesti ada alasan lain mengapa kerajaan mewajibkan pemeriksaan kenderaan lama itu.

Alasan lain, yang ada juga disebut, walaupun secara tidak langsung, ialah untuk mendorong orang ramai membeli kereta baru. Ini tentunya untuk menyokong dan memajukan industri kereta di negara ini.

Langkah untuk menyokong dan memajukan industri kereta itu tentunya tidak salah. Akan tetapi janganlah sampai menyusahkan orang ramai, khasnya orang kampung yang hanya mampu memakai kereta lama.

Kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat dan berslogankan "rakyat didahulukan", tentunya harus mengutamakan kepentingan rakyat yang berpendapatan rendah dan hanya mampu memakai kereta lama dan bukan mengutamakan kepentingan industri kereta.

Jadi peraturan baru yang membebankan dan menyusahkan rakyat yang berpendapatan rendah itu memang patut dikaji semula. Jika tidak dihapuskan pun, pengecualian patut diberi kepada orang ramai yang hanya menggunakan kereta lama mereka di kawasan "kampung" dan tidak membawa kereta mereka ke bandar besar seperti Kuala Lumpur!

Thursday, October 1, 2009

Pandangan Marxis tentang agama

Untuk memahami pandangan Marxis tentang agama, ada baiknya kita melihat pandangan 3 orang tokoh: Karl Marx, Engels dan Stalin, walaupun di sini tentunya secara sepintas lalu saja.

Marx memang pernah mengatakan dalam karyanya Toward the Critique of Hegel's Philosophy of Right, yang ditulisnya pada tahun 1844, bahawa "agama itu adalah candu rakyat". Ini ialah pendapat Marx muda.

Pendapat yang demikian dipercayai lahir dari pengalaman Marx yang melihat pemimpin dan institusi agama Kristian di Eropah sebagai sebahagian daripada oligarki yang menindas rakyat.

Pemimpin agama itu bukan saja merupakan penyokong kepada para penguasa, tetapi juga menguasai pemikiran rakyat supaya pasrah terhadap keadaan mereka yang tertindas, dan mempercayai bahawa mereka akan memperoleh kemakmuran selepas kematian berasaskan janji bahawa kebahagian itu ada di syurga.

Dalam keadaan demikian, rakyat menjadi pasif dan tidak mahu mengubah keadaan mereka yang buruk itu dengan berjuang untuk menciptakan nasib yang baik dengan kekuatan mereka sendiri.

Itulah sebabnya Marx menganggap agama sebagai candu rakyat.

Pandangan Marx tentang agama beralih dari ruang falsafah ke ruang sosial dalam karyanya yang kemudian, German Ideology (1846), apabila ia menyatakan bahawa agama adalah satu ideologi yang dibentuk oleh pengeluaran material dan mempunyai kaitan yang rapat dengan hubungan sosial yang ada dalam masyarakat.


Pandangan yang lebih progresif dan berasaskan sejarah tentang agama dikembangkan oleh Engels yang melihat adanya kesejajaran antara agama Kristian primitif dengan sosialisme moden. Engels melihat persamaan dalam pola penyokong gerakan, iaitu kedua-duanya menggunakan agama sebagai alat perjuangan golongan tertindas dan teraniaya untuk membebaskan manusia dari keadaan mereka yang tertindas. Cuma perbezaannya ialah Kristian primitif mengharapkan pembebasan dari penindasan itu akan tercapai dalam kehidupan di akhirat kelak, sementara sosialisme mahu pembebasan itu tercapai di dunia ini juga.

Mengenai Lenin yang dianggap sebagai Bapak Revolusi Kaum Sosialis, dalam karyanya Sosialisme dan Agama, ia bersikap tidak lebih daripada sebagai seorang sekular. Secara politik Lenin menolak hubungan agama dengan kekuasaan negara, tapi ia dapat menerima agama sebagai aktiviti atau urusan peribadi.

Dengan perkataan lain, Lenin tidak menolak cara hidup beragama, sekiranya ia merupakan urusan peribadi saja, dan tidak melibatkan urusan negara.

Bagi Lenin, surga itu sendiri harus diciptakan di dunia yang nyata ini, bukan di dunia lain.

"Persatuan dalam perjuangan revolusioner yang sesungguhnya dari kelas kaum tertindas untuk mencipta sebuah surgaloka di bumi lebih penting bagi kita berbanding dengan kesatuan pendapat kaum proletar di taman firdaus syurga,"ujar Lenin.

Pendapat Lenin ini tentu harus difahami dalam konteks pengalaman Russia dengan pemimpin Kristian Ortodoks yang sejak lama menjadi bahagian daripada oligarki Tsar dan feodalisme di kawasan desa Russia.

Dengan perkataan lain, sama seperti Marx, Lenin melihat pemimpin agama sebagai sebahagian daripada pihak penguasa atau pemerintah yang menindas rakyat. Dan dalam keadaan hidup tertindas itu, agama mengajar mereka supaya pasrah kerana dikatakan kebahagian sebenar ada di dunia lain, dan bukan di dunia yang nyata ini.

Jika demikian, bukankah agama itu telah menjadi candu rakyat?

Tuesday, September 15, 2009

Membaca Manifesto Parti Komunis dalam bahasa Malaysia

Mungkin ramai sekali orang yang bersikap antikomunis dan benci pada fahaman komunis, tapi mereka sebenarnya tidak pernah membaca risalah termasyhur, karya Marx dan Engels yang bertajuk "Manifesto Parti Komunis".

Sekarang tentera PKM sudah dibubarkan, dan PKM tentunya tidak menjadi ancaman lagi kepada negara kita, Malaysia. Adakah sesiapa yang berminat membaca karya Marx dan Engels yang mendorong tercetusnya revolusi komunis hampir di seluruh dunia itu?

Manifesto Parti Komunis telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia buat kali yang pertama pada tahun 1924, kemudian direvisi pada tahun 1948. Pada tahun 1954 dibuat lagi revisi dan pembaikan terakhir.

Jadi orang Indonesia tentunya beruntung dapat membaca risalah yang mula-mula terbit di London pada tahun 1848 itu sejak tahun 1924 lagi.

Ini bermakna pemimpin komunis Indonesia yang tidak pandai berbahasa Belanda atau Inggeris boleh membaca terjemahannya dalam bahasa Indonesia, begitu juga ahli-ahli parti komunis di Indonesia.

Kita tidak tahu sama ada Manifesto Parti Komunis dalam bahasa Indonesia itu pernah sampai ke Malaysia atau tidak, dan sama ada tokoh-tokoh komunis Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D., Musa Ahmad, Wahi Anwar dll pernah membacanya atau tidak.

Pada tahun 2002, ketika saya bertemu dengan Kamarulzaman Teh (allahyarham), salah seorang tokoh Melayu PKM, saya pernah bertanya sama ada beliau pernah membaca risalah tersebut atau tidak. Katanya dia pernah membacanya. Tapi saya lupa bertanya sama ada yang dibacanya itu risalah dalam bahasa Inggeris atau terjemahannya dalam bahasa Indonesia.

Pada tahun 2003, setelah lebih 150 tahun risalah itu diterbitkan dalam pelbagai bahasa penting di dunia barulah muncul terjemahannya dalam bahasa Malaysia; itupun yang saya jumpai dalam versi internet. Saya tidak tahu sama ada ia pernah diterbitkan dalam bentuk buku dalam bahasa Malaysia atau sebaliknya.

Jika kita membaca sendiri risalah tersebut, saya kira kita akan sampai kepada kesimpulan, bahawa idea Marx dan Engels yang sangat "ditakuti" pada satu masa dahulu tidaklah "sejahat" mana. Ia hanya menyeru kaum proletar (buruh industri) sebagai satu kelas yang baru berkembang pada masa itu berjuang menentang kelas borjuis (pemilik modal) yang merupakan kelas pemerintah melalui revolusi.

Revolusi itu telah berjaya di pelbagai negara dan pada satu masa dahulu wujudlah pelbagai negara komunis, besar dan kecil, di pelbagai belahan dunia. Ia merupakan kehendak sejarah, tapi kini sesetengah negara itu juga sudah runtuh dan sudah menjadi sejarah.

Monday, September 14, 2009

Ketua Rejimen ke-10: Prof. pun melakukan kesilapan

Ini barangkali hanya perkara kecil atau kesilapan kecil. Akan tetapi, elok juga ditegur, supaya kesilapan itu tidak berkekalan tanpa pembetulan.

Di muka surat 79 buku Ramlah Adam (Prof. Dr.), Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965) ada gambar Mokhtaruddin Lasso, yang dinyatakan sebagai " Presiden PKMM yang pertama. Beliau adalah Ketua Rejimen ke-10 (Melayu) Parti Komunis Malaya".

Memang benar Mokhtaruddin Lasso ialah Presiden PKMM yang pertama, tapi beliau bukan Ketua Rejimen ke-10. Mokhtaruddin telah lari ke Indonesia pada akhir tahun 1945 dan tidak terlibat langsung dengan Rejimen ke-10 yang baru tertubuh pada tahun 1949.

Sebelum ini ketika melaporkan kepulangan Shamsiah Fakeh ke rahmatullah tidak lama dahulu ada juga surat khabar Melayu yang membuat kenyataan yang salah dengan menyatakan Shamsiah ialah ketua Rejimen ke-10.

Untuk pengetahuan umum (kerana saya kira banyak juga yang tidak tahu) Rejimen ke-10 ditubuhkan sebagai satu-satunya pasukan tentera Melayu PKM (disebut juga Tentera Pembebasan Nasional Malaya) pada 21 Mei 1949 di Kerdau, dalam daerah Temerloh, Pahang.

Ketika ditubuhkan, ketua atau pemimpin Rejimen ke-10 adalah seperti berikut:

Komisaris Politik: Abdullah C.D.
Panglima: Wahi Anuar
Pegawai Politik: Musa Ahmad

Kamarulzaman Teh (yang pada mulanya dicadangkan menjadi Panglima) dan Rashid Maidin (seorang tokoh Melayu PKM) tidak terlibat dengan penubuhan itu, kerana kedua-duanya berada dalam penjara.

Sepanjang perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh Rejimen ke-10, dari Pahang hingga ke selatan Thailand, dari 1949 hingga 1989, pemimpin utama Rejimen ke-10 tidak lain daripada Abdullah C.D.

Jadi adalah satu kesilapan yang perlu dibetulkan, jika dikatakan ada tokoh lain yang menjadi "ketua" Rejimen ke-10

Sunday, September 13, 2009

"Meluruskan" sejarah perjuangan kemerdekaan

Pada tahun-tahun terakhir sebelum bersara, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Tun Mahathir berulang-ulang menyatakan bahawa perjuangan kemerdekaan negara ini bermula dengan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946, dan kemudian UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan terhadap Malayan Union itulah yang menuntut kemerdekaan daripada British bersama-sama dengan MCA dan MIC.

Inilah versi sejarah perjuangan kemerdekaan "arus perdana" yang agaknya sudah menjadi "versi rasmi", yang termuat dalam buku-buku teks sekolah dan selalu diulang-ulang oleh media cetak dan media elektronik milik pemerintah atau yang dikuasi oleh parti pemerintah.

Versi sejarah perjuangan kemerdekaan arus perdana ini jelas tidak tepat dan mengelirukan, kerana dari perspektif masa, ia melihatnya dari perspektif jangka pendek. Dengan menyatakaan perjuangan kemerdekaan itu bermula pada tahun 1946, maka yang akan tertonjol ialah peranan UMNO saja dalam perjuangan itu, dan perjuangan kemerdekaan itu seolah-olah merupakan "monopoli UMNO".

Dengan perspektif jangka pendek yang demikian, peranan dan jasa tokoh dan golongan lain yang mempelopori perjuangan kemerdekaan sebelum itu seolah-olah ingin dilupakan dan diketepikan. Ini merupakan satu penyelewangan sejarah, kalau pun bukan pembohongan sejarah, dan mesti dibetulkan (atau "diluruskan" kata orang Indonesia).

Untuk meluruskan kembali sejarah perjuangan kemerdekaan ini, kita sepatutnya menggunakan perspektif masa yang lebih panjang atau lebih awal dari tahun 1946, yang mungkin boleh kita istilahkan sebagai perspektif jangka panjang dan perspektif jangka sederhana.

Dengan perspektif jangka panjang, kita boleh melihat perjuangan kemerdekaan itu sudah pun bermula selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, atau terkemudian sedikit selepas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor , Pahang dll jatuh ke tangan Inggeris.

Dengan itu, kita boleh melihat dan menghargai peranan pembesar tradisional Melayu, seperti Datuk Maharajalela dan Datuk Sagur di Perak, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang dan Tok Janggut di Kelantan dalam perjuangan menentang Inggeris. Mereka bukan pemberontak atau penderhaka sebagaimana yang didakwa oleh Inggeris, tapi perjuang kemerdekaan yang tidak mahu tanah air mereka dijajah dan diperintah oleh kuasa asing.

Dengan perspektif jangka sederhana pula, kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan secara berorganisasi dan dalam bentuknya yang moden sudah bermula pada tahun 1930 dengan penubuhan PKM. Kemudian perjuangan itu diteruskan oleh KMM yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan oleh PKMM (bersama badan gabungannya API dan AWAS ) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Jadi kita boleh melihat bahawa perjuangan kemerdekaan dalam bentuknya yang moden itu sudah dipelopori oleh PKM, KMM dan PKMM sebelum UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Dengan itu, pelopor perjuangan kemerdekaan bukan UMNO, tapi ialah pelbagai organisasi yang wujud sebelum UMNO.

Dengan perspektif jangka sederhana ini juga kita boleh melihat dan menghargai peranan pelbagai tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan, seperti Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein (KMM), Dr.Burhanuddin dan Ishak Haji Mohamad (PKMM), Ahmad Boestamam (API) dan Shamsiah Fakeh (AWAS).

Begitu juga mungkin bukan satu kesalahan jika kita mengikiraf peranan PKM dengan tokoh-tokoh Melayunya seperti Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad dalam perjuangan kemerdekaan. Dan adakah satu kesalahan jika kita masukkan juga Chin Peng, tokoh utama PKM, sebagai salah seorang pejuang penting kemerdekaan?

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini jelaslah pada kita, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan negara kita bukan bermula pada tahun 1946, dan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO bukanlah pelopor perjuangan kemerdekaan. UMNO dan kedua tokohnya itu sebenarnya hanya menyambung perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh banyak tokoh lain sebelum mereka.

Dengan menggunakan perspektif jangka panjang dan jangka sederhana ini juga saya harap kita dapat "meluruskan" sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita yang telah diselewengkan oleh versi sejarah arus perdana.

Dan dengan itu, adalah satu keharusan kita turut memberi pengiktirafan terhadap peranan dan jasa pelbagai tokoh pejuang kemerdekaan sebelum Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman, yang tentunya tidak wajar dilupakan begitu saja.

Tokoh-tokoh yang ingin dilupakan ini tentu wajar dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang tulin, kerana sebahagian besar daripada mereka pernah menjadi penghuni kem tahan dan penjara rejim kolonial, dan sebahagian lagi terpaksa bergadai nyawa apabila keadaan memaksa mereka mengangkat senjata.