Antara alasan profesor itu adalah bahawa PKM bukan pejuang kemerdekaan, sebaliknya merupakan golongan yang didalangi oleh kuasa luar dan mahu menjadikan Malaya sebuah negara komunis. Selaras dengan itu, komunis (PKM) juga dikatakan antiraja dan antiagama. Jika komunis berkuasa, bukan saja Malaya akan menjadi republik, malah kebebasan beragama juga akan hilang.
Pendapat profesor ini saya kira banyak berasaskan andaian saja dan bukan berdasarkan fakta sejarah.
Dari segi fakta sejarah, PKM adalah pihak yang kalah. Jadi soal PKM mendirikan republik komunis, membuang raja dan menyekat kebebasan beragama adalah tidak berlaku dan tidak timbul sama sekali.
Bagaimanapun, dari segi perjuangan kemerdekaan, pada tahun 1948 dahulu, kontradiksi utama, sama ada di peringkat antarabangsa atau di peringkat nasional adalah antara kuasa imperialis (penjajah) dengan rakyat tanah jajahan, termasuklah PKM (atau komunis).
Jadi siapa saja yang berjuang menentang penjajah, termasuk orang-orang komunis di Malaya adalah pejuang kemerdekaan.
Soal PKM berjuang untuk mewujudkan republik komunis selepas Inggeris diusir dari negara ini saya kira tidak menjadi isu pada masa itu.
Hal ini demikian, kerana pada masa itu perjuangan bersenjata menentang penjajah Inggeris baru saja bermula. Dan sekiranya PKM mempunyai hasrat yang demikian, PKM pun tidak mewar-warkannya.
Bagaimanapun, sekiranya ada pemimpin komunis Melayu dan pengikut mereka yang mengetahui dan menyedari bahawa perjuangan PKM adalah untuk mendirikan republik komunis, mereka juga mungkin tidak menganggap hal itu sebagai perkara yang salah.
Sebabnya ialah pada masa itu sistem komunis adalah sistem politik dan ekonomi yang masih baru, yang belum begitu diketahui dan difahami, jauh sekali dialami. Jadi sama ada sistem komunis itu lebih baik atau lebih buruk belum lagi dapat dibuktikan.
Walau bagaimanapun, dalam pertentangan antara sistem kapitalis yang selama ini menindas mereka dengan sistem komunis yang masih baru itu, sistem komunis tentunya dilihat dan dibayangkan sebagai sistem politik dan ekonomi yang memberi harapan baru, yang akan membela dan memberi keadilan kepada rakyat jelata.
Oleh yang demikian, memang sudah sewajarnya mereka berjuang bersama PKM, kerana PKM-lah yang akan membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajahan, dan kemudian membawa mereka ke dunia baru yang adil dan makmur.
Kebetulan, sebagaimana yang kita patut tahu, sebelum Darurat pada tahun 1948, PKM adalah sebuah parti politik yang sah, dan dibenarkan bergerak mengikut undang-undang kerajaan penjajah pada masa itu.
Oleh kerana itu, sekiranya Mat Indera memasuki PKM sebelum itu dan berjuang bersama-sama PKM selepas itu, apa yang dilakukan oleh Mat Indera bukanlah perkara yang salah.
Kebetulan orang-orang yang mempunyai pendidikan agama yang agak tinggi, seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh pun berjuang bersama PKM. Jadi adakah salah Mat Indera yang pernah bersekolah agama dan pernah menjadi ustaz juga memasuki PKM?
Saya menganggap PKM termasuk dalam golongan yang berjuang untuk kemerdekaan.Dengan berjuang bersama PKM, maka Mat Indera juga termasuk dalam golongan tersebut. Dia tidak berubah menjadi petualang semata-mata kerana berjuang bersama PKM.