Monday, September 5, 2011

Komunis Melayu orang Islam seperti kita

Barangkali tidak ada "komunis Melayu" yang tiba-tiba atau terus lahir sebagai seorang komunis. Mereka umumnya lahir sebagai anak orang Islam. Mereka diajar mengaji, sembahyang, puasa dan sebagainya. Ada juga yang dihantar belajar ke sekolah agama hingga ke peringkat yang agak tinggi, seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh.


Kemudian mereka menyertai gerakan nasionalisme, walaupun nasionalisme kiri, seperti PKMM, API dan AWAS. Maka jadilah mereka seorang nasionalis yang cintakan tanah airnya, dan kerana ketika itu tanah air mereka masih dijajah oleh kuasa asing, maka mereka berjuang untuk mencapai kemerdekaan.


Kerana tekanan penjajah, mereka terpaksa bersekutu dengan komunis (PKM) dan berjuang berganding bahu dengan komunis,kerana ketika itu (tahun 1946 dan seterusnya)
PKM adalah golongan progresif yang terkuat,dan dibayangkan mampu menghalau penjajah dari negara ini.


Ada di antara mereka yang jadi ahli PKM, bahkan meningkat menjadi pemimpin PKM pada berbagai peringkat, dan tentunya belajar ideologi komunis.


Akan tetapi, pengetahuan mereka tentang ideologi komunis umumnya tidaklah tinggi; hanya pada peringkat asas sahaja. Seorang yang menjadi komunis dari muda hingga ke tua, seperti Kamarulzaman Teh misalnya, hanya mengetahui konsep-konsep asas tentang Marxisme. Pengetahuan mereka tentang ideologi komunis tidaklah canggih dan mendalam.


Ketika di Pahang pada tahun 1948-1952, Abdullah CD lebih banyak bertempur daripada belajar teori. Hanya selepas berada di kawasan sempadan, khasnya pada tahun 1980-an, dia dan pemimpin Melayu PKM banyak belajar tentang teori-teori komunisme dengan mengkaji karya Mao Tse Tung, dan sedikit karya Marx dan Lenin. Yang lebih mahir dan jadi "guru" mereka ialah Suriani Abdullah CD, isteri Abdullah CD.


Walau bagaimanapun,selepas mereka masuk PKM dan belajar ideologi komunis bukan bererti, mereka jadi atheis dan keluar dari agama Islam. Mereka tetap orang Islam. Mereka mungkin boleh dikatakan seorang "komunis-Islam", bukan komunis totok yang telah meningalkan agamanya.


Sebab itulah setelah mereka tua dan berhenti berjuang, mereka kembali menjadi orang Islam biasa. Mereka sembahyang.Mereka naik haji. Bahkan Rashid Maidin jadi guru mengaji setelah keluar dari hutan dan tinggal di Yaha,Yala.


Inilah latarbelakang dan perkembangan komunis Melayu yang patut kita tahu.Janganlah mempunyai pandangan buruk terhadap mereka, dan janganlah memburukkan mereka. Mereka tetap orang Islam seperti kita.