Wednesday, June 16, 2010

Bahaman " si derhaka celaka" kata Hikayat Pahang


Apabila membaca satu tulisan yang berkaitan dengan Bahaman dalam blog "Kini dan Silam", saya teringat pandangan Hikayat Pahang (Penerbit Fajar Bakti 1986) tentang Bahaman.
Hikayat Pahang yang asalnya tulisan tangan dan mungkin disalin pada tahun 1932 mengatakan bahawa Bahaman "telah derhaka kepada kerajaan Pahang" dan berkali-kali, di pelbagai tempat (misalnya di muka surat 116-17) penulisnya melabelkan Bahaman sebagai "si derhaka celaka".
Penulis Hikayat Pahang itu tidak diketahui, kerana dia tidak menyatakan namanya. Namun, jelaslah dia seorang yang masih bermentaliti feudal , yang menghendaki setiap rakyat Pahang mesti taat setia kepada kerajaan, termasuk kerajaan Inggeris yang telah "menjajah" negeri Pahang.
Beliau mungkin seorang yang mempunyai hubungan rapat dengan istana dan pentadbiran penjajah, dan dengan itu berasa selesa berada di bawah pemerintahan penjajah. Beliau tidak mempunyai kesedaran politik bahawa berada di bawah pemerintahan penjajah itu adalah satu kedudukan yang hina.
Namun, sejak pertengahan tahun 1930-an di Pahang sudah lahir pemimpin yang berasal dari kelas rakyat, seperti Ibrahim Yaakub dan Ishak Haji Mohamad, yang mahu memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajah.
Dengan itu, pandangan feudal bahawa Bahaman adalah "si derhaka celaka" pun turut berubah. Sejak itu Bahaman dilihat sebagai seorang patriot, penentang penjajah dan pejuang kemerdekaan. Inilah pandangan yang tepat, yang sepatutnya dicatatkan dalam buku-buku sejarah.

Saturday, June 12, 2010

Siti Norkiah bt. Mahmud Baginda

Orang muda pada masa ini tentu tidak kenal siapa Siti Norkiah.
Orang tua pula mungkin tidak ingat lagi, dan mungkin banyak juga yang tidak mengenalinya. Akan tetapi, sebagai bekas Ketua AWAS Pahang (1946-1948), yang kemudian bergerila di Pahang selama kira-kira 5 tahun (1948-1953), dan selepas itu bergerila pula di selatan Thailand selama hampir empat dekad (1954-1989), saya rasa beliau wajar dikenali dan sejarah perjuangannya wajar dirakamkan dan diberi pengiktirafan. Sekarang saya sedang menulis biografi beliau, yang kini sudah berumur 90 tahun.