Pihak-pihak yang menyokong sultan dan institusi raja dan mengutuk orang-orang yang dianggap menderhaka kepada sultan mengangap salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu "Kesetiaan kepada Raja dan Negara" ialah prinsip yang mesti dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia.
Memang benar sebagai salah satu prinsip Rukan Negara, prinsip Rukun Negara yang kedua itu mesti dipatuhi. Akan tetapi, saya kira ia mesti dibaca bersama-sama, dan tidak boleh dipisahkan, daripada prinsip yang lain.
Prinsip Rukun Negara yang pertama ialah "Kepercayaan kepada Tuhan". Ini bererti bagi orang Islam, kepatuhan kepada ajaran dan hukum Islam atau undang-undang Allah adalah mengatasi kepatuhan kepada prinsip yang lain.
Oleh itu, selaras dengan ajaran Islam, kesetiaan kepada raja tentulah tidak sampai "terjun ke telaga tahi" sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah pada zaman feudal dahulu, kerana perbuatan seperti itu jelas merupakan penghinaan terhadap mertabat insan!
Bagaimanapun, yang tidak kurang pentingnya prinsip Rukun Negara yang kedua itu mestilah dibaca bersama-sama dengan prinsip Rukun Negara yang ketiga dan keempat, iaitu "Keluhuran Perlembagaan" dan "Kedaulatan Undang-Undang".
Sebagaimana yang kita sepatutnya maklum, raja-raja di Malaysia sekarang ialah "raja berperlembagaan" dan bukan raja yang "berkuasa mutlak" seperti pada zaman feudal dahulu. Jadi kuasa raja sebenarnya ada batasnya, sebagaimana yang tercatat dalam perlembagaan.
Pada masa yang sama kedaulatan undang-undang adalah meliputi seluruh rakyat dan raja, dan bukan meliputi rakyat saja. Apatah lagi setelah "kekebalan" raja dihapuskan oleh kerajaan beberapa tahun yang sama, maka kedudukan raja saya kira adalah sama di sisi undang-undang. Hanya apabila seorang raja perlu dibicarakan, baginda masih diberi keistimewaan untuk dibicarakan di Mahkamah Khas.
Berkaitan dengan kedaulatan undang-undang ini, saya kira "konsep pantang derhaka" hanyalah konsep lama yang diwarisi dari norma dan nilai Melayu pada zaman feudal dahulu, tapi tidak ada kuatkuasa dari segi undang-undang.
Tidak mematuhi titah seorang raja boleh dianggap derhaka mengikut norma dan nilai lama, tapi mungkin tidak ada apa-apa tindakan yang boleh diambil terhadap seseorang "rakyat" dari segi undang-undang.
Sekarang bagaimana pula dengan tindakan hendak menyaman raja?
Sekarang ini tidak ada pemimpin Melayu dari parti pembangkang (termasuk Anwar Ibrahim) yang bersetuju kita menyaman raja. Sikap ini nampaknya selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima, iaitu "Kesopanan dan Kesusilaan".
Namun, adakah menyaman seorang raja itu salah dari segi undang-undang? Biarlah saya katakan saya tidak tahu, dan biarlah pakar undang-undang yang menjelaskannya.
Bagaimanapun, kalau tidak salah, tidak lama dahulu ada raja yang disaman kerana gagal menjelaskan hutang, dan nampaknya tidak ada kekebalan lagi yang boleh melindungi baginda.
Bagaimana pula, katakanlah, jika seorang raja itu terlibat dengan satu kesalahan yang termasuk dalam kategori "jenayah"? Saya kira dalam hal ini Tun Mahathir sudah bertindak bijak dengan menghilangkan kekebalan raja.
Jadi barangkali hanya orang Melayu yang sudah terlalu lemah dan kehilangan rasionaliti yang mahu kekebalan raja itu dipulihkan semula!